Potongan cukai taksiran 5% bagi strata, 20% untuk teres di Putrajaya

Potongan cukai taksiran 5% bagi strata, 20% untuk teres di Putrajaya

Perdana menteri berkata, pengurangan itu dibuat selepas beliau mendengar keluhan pemilik hartanah bahawa cukai taksiran yang dikenakan agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

Pengurangan cukai taksiran fasa 2 itu akan membabitkan 2,700 kediaman strata dan teres di Putrajaya yang siap dibina selepas 2017.
PETALING JAYA:
Pemilik kediaman strata dan teres di sekitar Putrajaya akan diberikan pengurangan cukai taksiran 5% dan 20% mulai 1 Julai ini, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri mengumumkan pengurangan itu selaras aspirasi Malaysia Madani melalui elemen Ihsan yang dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup lebih luas bagi mengurangkan beban ditanggung penduduk dalam mendepani kos sara hidup, khususnya golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya.

“Setelah meneliti penerangan lanjut daripada pihak berwajib, saya bersetuju agar pengurangan cukai taksiran fasa 2 di Putrajaya diberikan kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak 5% dan pemilik kediaman teres sebanyak 20%,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, pengurangan cukai taksiran ini diberikan kepada hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres yang siap dibina selepas 2017.

Katanya, pengurangan itu dibuat selepas beliau mendengar keluhan pemilik hartanah, selain rumah mampu milik di Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan semua kediaman berharga bawah RM300,000 di sekitar Putrajaya akan diberikan potongan sebanyak 30% daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan mulai 1 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.