Muhyiddin mungkin ditahan hari ini, kata ketua penerangan Bersatu

Muhyiddin mungkin ditahan hari ini, kata ketua penerangan Bersatu

Presiden Bersatu semalam berkata beliau diminta hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya 11 pagi ini.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris menjangkakan presiden parti Muhyiddin Yassin akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

“Muhyiddin diminta hadir ke ibu pejabat SPRM… dan kita jangkakan beliau akan ditahan (hari ini) dan didakwa di mahkamah esok,” kata Razali kepada wartawan yang berkumpul di luar ibu pejabat SPRM.

“Kami menganggap ini tidak berperikemanusiaan kerana parti akan mengadakan pemilihan esok, dan Parlimen juga sedang bersidang.”

Muhyiddin, bekas perdana menteri, dijangka tiba di ibu pejabat SPRM selepas diminta hadir jam 11 pagi.

Muhyiddin sebelum ini mengesahkan dipanggil SPRM berhubung projek yang dianugerahkan bawah Jana Wibawa, inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera yang diperkenalkan pada November 2020 semasa beliau menjadi perdana menteri.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan membabitkan Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional, belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.