Jakoa julung kali terima bajet tambahan

Jakoa julung kali terima bajet tambahan

Jumlah itu ditambah daripada RM113.8 juta kepada RM156.6 juta.

Kerajaan terdahulu pimpinan Perikatan Nasional pada Julai tahun lalu meluluskan peruntukan pembangunan RM113.8 juta bagi pelaksanaan 52 projek utama di perkampungan Orang Asli. (Gambar Facebook Shazana Amin)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pertama kali menerima bajet tambahan RM42.38 juta daripada kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, jumlah itu ditambah daripada RM113.8 juta kepada RM156.6 juta.

“Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mempertingkatkan penambahan bajet untuk Jakoa daripada RM113.8 juta kepada RM156.6 juta di mana kenaikan sebanyak RM42.38 juta.

“Ini adalah peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya harap pembangunan dalam kalangan generasi baharu masyarakat Orang Asli akan dapat dipertingkatkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan bawah Perikatan Nasional pada Julai tahun lalu meluluskan peruntukan pembangunan RM113.8 juta bagi pelaksanaan 52 projek utama di perkampungan Orang Asli.

Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) membabitkan fokus berkaitan urusan tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan itu bertujuan mengarusperdanakan masyarakat Orang Asli.

Dalam pada itu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah
berkata, kerajaan turut memandang serius pendidikan dalam kalangan Orang Asli dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 300 daripada mereka melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Tahun lepas sebanyak 330 orang masuk ke universiti, ini merupakan pencapaian yang baik dalam kalangan Orang Asli.

“Dalam soal pendidikan saya tidak akan pernah kompromi untuk tidak bersetuju dengan program dilakukan Jakoa dan juga lain-lain agensi dan saya berharap langkah baru yang dilakukan akan dapat dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.