
NASP mensyaratkan, pelan bagi lapangan terbang baharu dan cadangan pembesaran ditangguhkan sementara menunggu kajian dilaksanakan.
“Saya ingin bertanya, apabila perdana menteri mengumumkan bahawa LTSAAS dan PIA akan diperbesarkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, adakah beliau merujuk NASP?” soal Sanusi dalam kenyataan.
Sanusi turut mempertikaikan dakwaan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook bahawa Lapangan Terbang Kulim tidak pernah dicadangkan secara rasmi kepada kementerian.
Semalam, Loke berkata kerajaan tidak pernah membatalkan rancangan kerajaan Kedah untuk membina lapangan terbang baharu di Kulim kerana tiada apa yang perlu dibatalkan.
Loke berkata, tiada cadangan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan berhubung perkara itu.
Sanusi berkata, dakwaan itu tidak benar kerana kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) memberi lampu hijau untuk projek Lapangan Terbang Kulim.
“Sesi libat urus kerajaan negeri dengan Kementerian Pengangkutan yang masing-masing diketuai saya sendiri dan Wee Ka Siong (menteri ketika itu) diadakan pada 21 Ogos 2020 dan berjaya mendapatkan kelulusan bagi pembangunan projek.
“Permohonan kemudiannya berhasil mendapatkan kelulusan dasar dalam mesyuarat MPFN pada 27 Okt 2020 dan kelulusan itu beserta lapan nasihat yang perlu dipatuhi bagi mendapat kelulusan akhir.
“Kerajaan negeri menerima surat sokongan dan tiada halangan daripada lebih 10 agensi berkaitan yang disenaraikan dalam nasihat MPFN,” katanya.
Sanusi berkata, Kedah sudah memulakan proses untuk memperoleh tanah bukan sahaja untuk lapangan terbang itu, tetapi keseluruhan projek Aerotropolis Kedah dan pembangunan bercampur lapangan terbang itu.
“Kepada menteri pengangkutan (Loke), saya sendiri sudah dua kali memaklumkan hasrat mahu mengadakan pembentangan projek ini. Kali pertama saya memberitahu beliau pada 16 Jan 2023 semasa kami bertemu dalam majlis pelancaran LIMA 2023 di Matrade dan kedua ketika mesyuarat perdana menteri bersama menteri besar dan ketua menteri di bangunan Parlimen pada 22 Feb 2023,” katanya.
Sanusi berkata, apabila kerajaan baharu mengambil alih, setiausaha kerajaan negeri Kedah menulis surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengadakan mesyuarat bagi membentangkan rancangan lapangan terbang itu tetapi tidak menerima jawapan.
“Sultan Kedah juga memaklumkan kepada saya bahawa baginda sendiri telah menitahkan perdana menteri mengenai keperluan projek ini disegerakan ketika sesi menghadap di Istana Kedah di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perdana menteri menyatakan bahawa kerajaan persekutuan tidak ada keupayaan kewangan buat masa ini,” katanya.
Katanya, projek itu tidak memerlukan dana persekutuan kerana ia akan dibiayai melalui pembiayaan swasta.
“Saya percaya jika perdana menteri dan menteri pengangkutan tahu syarikat yang dipilih, mereka akan teruja mengenainya,” katanya.