Putrajaya nafi cubaan rampas Kedutaan Malaysia di Paris

Putrajaya nafi cubaan rampas Kedutaan Malaysia di Paris

Sekretariat Khas Sulu berkata, bailif hanya cuba memohon akses ke premis itu.

Kedutaan Malaysia di Paris, di mana kakitangan diplomatik menafikan akses kepada bailif berhubung gadai janji berkanun yang dikeluarkan mahkamah Perancis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sekretariat khas kerajaan yang ditugaskan menangani tuntutan kumpulan mendakwa diri mereka waris Sultan Sulu menafikan laporan mencadangkan pihak menuntut itu cuba merampas Kedutaan Malaysia di Paris.

Sekretariat itu dalam kenyataan berkata, sekumpulan individu yang mengaku diri mereka bailif mahkamah ke Kedutaan Malaysia di Paris Isnin lalu untuk memohon akses memasuki premis terbabit.

Menurutnya, ia untuk membolehkan kumpulan itu “mendapatkan perincian hartanah terbabit”.

Kakitangan diplomatik bagaimanapun menolak permohonan mereka dan kumpulan bailif terbabit meninggalkan tempat itu kemudian.

“Ini bukan cubaan merampas hartanah itu,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Reuters melaporkan bailif Perancis gagal dalam cubaan menguatkuasakan arahan sita terhadap tiga hartanah milik kerajaan Malaysia dalam kes dikaitkan dengan penganugerahan timbang tara kontroversi berjumlah USD15 bilion kepada waris Sultan Sulu.

Sementara itu, sekretariat terbabit berkata, Malaysia berhasrat mengambil tindakan undang-undang membatalkan pendaftaran gadai janji berkanun yang dikeluarkan mahkamah Paris terhadap permohonan waris Sultan Sulu.

Pendaftaran itu berdasarkan penganugerahan timbang tara yang dipertikaikan Malaysia dalam pelbagai bidang kuasa, termasuk Perancis.

“Gadai janji berkanun itu bukan langkah yang ada kesan penguatkuasaan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat itu mengesahkan Malaysia sedang mengambil langkah di mahkamah Paris sama untuk membatalkan pendaftaran gadai janji terbabit.

“Malaysia kekal dengan pendirian, mana-mana misi diplomatik tidak boleh dicabul dan kebal daripada sebarang carian, pengambilan atau penahanan di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.