Percayalah, kerajaan sedang usahakan reformasi institusi, kata Azalina

Percayalah, kerajaan sedang usahakan reformasi institusi, kata Azalina

Rakyat mesti menyokong kerajaan yang telah diundi untuk melaksanakan perubahan, kata menteri undang-undang dan reformasi institusi itu.

Azalina Othman Said berkata, antara keutamaannya dalam sidang Dewan Rakyat kali ini adalah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan meminda Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
PETALING JAYA:
Azalina Othman Said menjelaskan kadar reformasi institusi dijalankan kerajaan perpaduan, yang dikatakan perlahan, sambil menggesa rakyat supaya yakin dan terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) itu berkata, kerajaan semasa, terdiri daripada pelbagai parti politik yang secara konsisten menyuarakan dan mendesak reformasi, telah membuat permulaan yang baik dalam program reformasinya.

Bercakap dalam program The Breakfast Grille di BFM, Azalina mempersoalkan sama ada Perikatan Nasional (PN) akan menyuarakan tentang perubahan sama yang sedang diusahakan oleh kerajaan perpaduan jika berkuasa.

“Mereka bercakap tentang kerakyatan bagi anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia, sejauh mana mereka bawa pindaan (Perlembagaan Persekutuan) ini?”

Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan secara automatik kerana Perlembagaan hanya memperuntukkan kerakyatan diperoleh melalui bapa.

Pada Februari, Jemaah Menteri bersetuju meminda Perlembagaan bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia mendapatkan kerakyatan secara automatik.

Rang undang-undang berkaitannya dijadual dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.

Azalina berkata, banyak undang-undang lain yang perlu dibaharui, namun meluahkan rasa kesal kerana Dewan Rakyat hanya bersidang tidak sampai 100 hari setahun. Sidang yang sedang berlangsung dijangka menghabiskan sebahagian besar masa membahaskan Bajet 2023.

“Banyak perkara perlu dibaharui Saya fikir kita perlu ada niat baik. Rakyat telah mengundi kerajaan ini untuk mentadbir negara selama lima tahun, jadi rakyat mesti menyokong kerajaan ini melaksanakan perubahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, salah satu keutamaannya untuk sidang Dewan Rakyat kali ini adalah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dan meminda Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Wanita dalam politik

Sementara itu, Azalina mencadangkan parti politik mewujudkan sistem latihan dan pementoran untuk menggalakkan wanita menyertai politik, bukan setakat menetapkan kuota 30% calon wanita untuk pilihan raya.

Katanya, mana-mana parti politik mahu meletakkan calon boleh menang dalam pilihan raya, namun tambahnya, tiada gunanya semata-mata meletakkan calon wanita.

“Saya tidak boleh menyalahkan parti politik, mereka memberikan respons kepada pengundi. Seperti apabila anda menjual produk, anda perlu melihat keperluan dan sistem nilai pengguna.

“Ini bukan tentang kuota 30%, tetapi menampilkan individu terbaik untuk tugas itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.