
Fadhlina berkata, jika isu itu tidak ditangani ia akan mewujudkan suasana diskriminasi jantina dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, sebagai pembuat dasar pihaknya akan menangani isu itu dengan lebih objektif dan tuntas menerusi dasar yang dibuat.
Katanya, sebagai contoh sebelum ini dasar pendidikan wajib hanya sehingga Tahun 6 sahaja, namun KPM kini berada dalam fasa rang undang-undang (RUU) untuk mewajibkan kanak-kanak sehingga ke sekolah menengah.
“Dalam hal ini, kanak-kanak mesti berada di peringkat sekolah wajib sehingga sekolah menengah. Selain itu, pihak KPM juga boleh menampung pelajar yang berkahwin pada usia muda dan ketika masih bersekolah untuk terus mendapatkan pendidikan.
“Ini termasuk golongan yang hamil ketika bersekolah,” katanya menurut Berita Harian.
Fadhlina berkata, golongan kanak-kanak yang berkahwin awal tidak boleh didiskriminasi sekalipun mereka berkahwin dan hamil.
Katanya, pelajar yang tercicir atau mempunyai halangan status untuk menuntut pendidikan di peringkat sekolah, akan dibantu KPM untuk terus mendapatkan akses pendidikan yang baik.
“Tidak ada seorang pun yang wajar tercicir dalam konteks pendidikan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mula dididik untuk diberi kesedaran mengenai penting ruang pendidikan untuk kanak-kanak.
“Tidak dinafikan ada golongan agamawan yang membenarkan kanak-kanak berkahwin di usia muda, namun kita perlu melihat anak ini dalam konteks masa depan mereka,” katanya.
“Oleh itu setiap lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, agamawan dan media perlu memainkan peranan bagi memperkasakan pendidikan dalam kalangan wanita sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.