
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengarahkan Awang keluar Dewan hari ini dan esok kerana enggan berhenti mencelah dan mengganggu perbahasan Belanjawan 2023 peringkat dasar oleh Rafizi, selepas amaran diberikan.
“Saya arah Pendang keluar Dewan Rakyat selama dua hari. Bermula hari ini dan esok,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Johari berulang kali memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang mengganggu perbahasan, tetapi Awang berkali-kali melanggar arahan itu.
“Siapa bangun saya arah keluar. Kalau menteri bagi tak apa. Ini peraturan mesyuarat, saya ikut peraturan mesyuarat,” kata Johari.
Awang bagaimanapun berang apabila Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, memintanya tidak keluar Dewan.
“Pendang jangan keluar Pendang. Dalam masa bahas, banyak sentuh menteri, bila menteri jawab, dia keluar.
“Tunggulah. Macam itulah dia. Ini soal rakyat, duduklah. Jangan baling batu, sembunyi tangan masa menteri tidak ada.
“Dewan dan satu Malaysia boleh lihat Pendang. Dia bangun bawa buku, tetapi bila menteri nak jawab, dia lari,” kata Rafizi.
Awang mempertahankan diri dengan berkata, beliau tidak akan lari dari Dewan Rakyat.
“Kamu panggil saya. Saya ada mesyuarat. Saya bukan kaki tembak, lepas itu tak boleh buktikan.
“Pandan ini raja formula tipu,” dakwanya.
Rafizi yang berang kemudian menggelar Ahli Parlimen PAS itu “badut” menyebabkan Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Awang meminta menteri itu menarik balik kenyataannya.
Rafizi berbuat demikian selepas diminta Johari untuk menarik balik kenyataan “badut” itu.