
Ahmad Bashah, 73, berkata beliau berhasrat menawarkan pengalamannya bagi membantu dan mengukuhkan semula Umno, khususnya Bahagian Alor Setar dalam menghadapi PRN dan PRU16.
“Saya tidak ada rancangan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN. Saya sudah berusia 73 tahun, tidak ada apa yang saya nak kejar, saya bukan nak jawatan sesiapa atau nak bertanding dalam PRN nanti.
“Cuma ada permintaan, terutama di peringkat cawangan yang minta saya bertanding dalam pemilihan parti dan jawatan ketua Umno Bahagian Alor Setar itu kosong, jadi saya bertandinglah. Kalau jawatan itu ada penyandang, saya pun tak akan bertanding,” katanya di sini.
Ahmad Bashah menerajui Umno Bahagian Alor Setar sehingga 2018, sebelum jawatan itu dimenangi Mohd Yusof Ismail yang kini digantung keahlian enam tahun sejak tahun lalu.
Jawatan ketua Umno Bahagian Alor Setar kini dipangku Timbalannya, Zambri Mat yang turut mengesahkan akan merebut jawatan itu dalam saingan satu lawan satu dengan Ahmad Bashah.
Sementara itu, Zambri mengakui terkejut dengan keputusan Ahmad Bashah membuat kemunculan semula dalam arena politik, khususnya di Kedah, namun mengalu-alukan bekas ketua Umno Kedah itu untuk merebut jawatan ketua bahagian.
Beliau berkata, tujuannya bertanding jawatan itu bagi membawa perubahan dalam Umno Bahagian Alor Setar, selain berhasrat memenangi semula hati golongan muda supaya mereka menyokong parti itu pada pilihan raya akan datang.
“Pada usia 44 tahun, saya bertanggungjawab membuktikan Umno masih mampu menarik sokongan orang muda. Saya ada kaedah dan pendekatan untuk menarik minat mereka kerana PRU15 lalu merupakan ‘wake up call’ kepada Umno untuk melakukan peremajaan parti.”