Segera laksana gaji minimum RM1,500 untuk semua PMKS, gesa Ismail

Segera laksana gaji minimum RM1,500 untuk semua PMKS, gesa Ismail

Perusahaan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja diberi penangguhan sehingga 1 Julai.

Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob berkata pekerja daripada kumpulan B40 dan M40 perlu dibayar kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menyeru kerajaan segera melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 bagi perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PKS) yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja.

PKS yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja diberi penangguhan sehingga 1 Julai.

Ismail (BN-Bera) itu berkata penangguhan terlalu lama akan memberi kesan kepada banyak pekerja daripada kumpulan B40 dan M40.

“Oleh itu saya memohon kepada kerajaan supaya gaji minimum yang telah pun ditangguh tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar yang segera,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

Ismail berkata masih ada syarikat yang tidak mematuhi kadar baharu gaji minimum itu, yang berkuatkuasa pada 1 Mei tahun lepas, dan kekurangan penguatkuasaan yang menyeluruh.

Dalam masa sama, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memaklumkan bahawa pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan, tukang kebun, dan pengawal keselamatan yang berkhidmat di bangunan kerajaan masih belum menikmati kadar baharu gaji minimum itu.

“Alasan yang diberikan oleh syarikat-syarikat kontraktor adalah pihak kerajaan masih belum lagi mengubahsuai sebut harga dalam dokumen-dokumen tender mereka

“Oleh itu, saya berharap kerajaan mulai hari ini mengambil tindakan segera supaya syarikat-syarikat tersebut tidak memberikan alasan untuk memberikan gaji minimum kepada pekerja mereka,” katanya.

Hakikatnya, kata Ismail, kadar baharu RM1,500 itu bukanlah angka yang besar malah masih bawah pendapatan garis kemiskinan, iaitu RM2,208.

Beliau juga meminta Putrajaya memberikan penjelasan terperinci mengenai rancangan menyediakan subsidi bersasar, memandangkan ia dicadangkan beberapa tahun oleh pentadbiran Pakatan Harapan yang lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.