Penggiat industri filem perlu patuhi undang-undang, kata Fahmi

Penggiat industri filem perlu patuhi undang-undang, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital berkata, mana-mana pihak yang ingin memulakan penggambaran filem perlu mendapatkan permit daripada Finas terlebih dahulu.

Fahmi Fadzil berkata semua penggiat industri filem bahawa masih ada undang-undang yang terpakai kepada apa-apa karya yang dihasilkan mereka.
SHAH ALAM:
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengingatkan penggiat industri filem supaya mematuhi undang-undang sedia ada yang terpakai terhadap karya yang dihasilkan.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin memulakan penggambaran filem perlu mendapatkan permit daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terlebih dahulu.

“Kerajaan pada hari ini sangat tegas dalam isu kepatuhan kepada undang-undang. Saya ingin beri peringatan kepada semua walaupun kita nak jadi penggiat industri filem, kita masih ada undang-undang yang terpakai kepada apa-apa karya yang dihasilkan.

“Kalau ada pelanggaran, kita memang akan mengambil tindakan. Memang saya pernah sebut ia (Mentega Terbang) disiapkan pada 2021, waktu itu saya bukan menteri, jadi saya tak mahu mengelak dan kita ambil tindakan sekarang ,” katanya dalam Program Townhall Rakyat bersama Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Penapisan Filem mengenai usaha saringan filem-filem yang mengandungi unsur sensitif di media sosial.

“Dulu kita cakap tentang multimedia, sekarang pula beralih ke digital, jadi mungkin peraturan dan syarat yang diaplikasikan dulu perlu ditambah baik dan diperbaharui. Namun, ada beberapa perkara yang sedang dipertimbangkan dan ia masih dalam kajian.

“Di sesetengah negara, lesen dikenakan kepada syarikat penyediaan kandungan secara dalam talian. Ada juga negara yang tak kenakan. Jadi kita perlu melihat keserasian undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Fahmi berkata, sebenarnya pihak yang didapati bersalah boleh diambil tindakan menerusi undang-undang yang sedia ada.

“Tetapi jika lihat dari segi memudahkan cara ataupun mempercepat proses, mungkin ada isu yang boleh ditambah baik. Dari sini kita akan teliti,” katanya.

Terdahulu, polis membuka satu kertas siasatan berhubung filem kontroversi ‘Mentega Terbang’ selepas menerima lapan laporan dari seluruh negara.

‘Mentega Terbang’ mencetuskan kontroversi selepas tular sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.