‘Kawal’ konsert artis antarabangsa seperti Blackpink, gesa Ahli Parlimen PAS

‘Kawal’ konsert artis antarabangsa seperti Blackpink, gesa Ahli Parlimen PAS

Nurul Amin Hamid berkata, konsert seperti itu menimbulkan 'sedikit rasa kurang senang' dalam kalangan umat Islam.

Seramai 60,000 penonton dilaporkan menghadiri konsert Blackpink di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen PAS menggesa kerajaan “mengawal” penganjuran konsert artis luar negara seperti kumpulan K-pop Blackpink.

Bercakap di Dewan Rakyat, Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, konsert seperti itu menimbulkan “sedikit rasa kurang senang” dalam kalangan umat Islam.

“Saya ingin membangkitkan isu yang menjadi kebimbangan komuniti Islam di negara ini…konsert dan persembahan artis luar negara yang semakin kerap diadakan (di sini),” katanya.

“Antaranya artis seperti Westlife, OneRepublic, MAMAMOO, Jay Chou, dan terbaharu kumpulan K-pop Blackpink.

“Bukankah kerajaan boleh mengawal penganjuran konsert seperti itu, yang semakin diberi ruang di negara kita?” soalnya.

Beliau yang kali pertama menjadi Ahli Parlimen berkata, “kebanjiran” peminat pada konsert Blackpink Sabtu lalu tidak seiring nilai majoriti penduduk beragama Islam di negara ini.

Katanya, konsert itu tidak patut dianjurkan, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan banjir yang melanda tiga negeri.

Konsert Blackpink di Stadium Nasional Bukit Jalil dilaporkan dihadiri 60,000 penonton dan turut menampilkan persembahan artis tempatan, Siti Nurhaliza dan M Nasir.

PAS sebelum ini juga membantah konsert beberapa artis antarabangsa di negara ini.

Ogos tahun lalu, Pemuda PAS memberi amaran akan mengadakan bantahan di seluruh negara sekiranya konsert beberapa artis luar negara yang dijadualkan diadakan di negara ini tidak dibatalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.