Amazon hanya muktamad pelaburan lepas kerajaan perpaduan ambil alih, kata Anwar

Amazon hanya muktamad pelaburan lepas kerajaan perpaduan ambil alih, kata Anwar

Perdana menteri berkata rundingan bermula pada Disember 2019 dan diteruskan kerajaan berikutnya tetapi Amazon menangguhkan keputusan sehingga politik negara stabil.

Pada 2 Mac Amazon Web Services penyedia perkhidmatan awan antarabangsa mengumumkan bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim mendedahkan Amazon Web Services (AWS), syarikat gergasi dari Amerika Syarikat hanya memuktamadkan pelaburan bernilai RM25.5 bilion ke negara ini selepas beliau menjadi perdana menteri.

“Ya benar ia dimulakan rundingan pada 2019 dan diteruskan oleh kerajaan pentadbiran berikutnya, dua perdana menteri berikutnya tetapi Amazon memang menangguhkan keputusan, dan keputusan muktamad Amazon hanya setelah pentadbiran kerajaan perpaduan.

“Ini kenyataan saya daripada mereka (Amazon),” kata Anwar ketika menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu).

Terdahulu, Rahman secara sinis menjelaskan rundingan pelaburan itu sudah bermula pada 2019, ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan diteruskan kerajaan Muhyiddin Yassin, namun ia hanya dimuktamadkan ketika Anwar menjadi perdana menteri.

Pada 2 Mac, AWS, penyedia perkhidmatan awan antarabangsa mengumumkan bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Anwar menambah kestabilan politik yang dibawa kerajaan perpaduan juga menarik minat Amazon, dan Tesla untuk melabur ke negara ini.

“Mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil dengan dasar dan arahan jelas.

“… dan ini menyebabkan mereka menghubungi kami (kerajaan) dan menyatakan politik stabil dan dasar ekonomi jelas menyebabkan Amazon memilih Malaysia sebagai pangkalan mereka,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mahu tahu pendekatan kerajaan ketika ini berbanding pemerintah terdahulu dalam menarik pelabur berkualiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.