
Beliau menyanggah tuduhan bahawa pentadbirannya berlaku zalim, sedangkan projek di kampung-kampung masih berjalan manakala bantuan untuk rakyat diberi terus kepada yang memerlukan selepas diselaras dengan kerajaan negeri.
Sebaliknya, Anwar mahu PN merenung kembali pemberian kepada wakil-wakil rakyat pembangkang di negeri yang ditadbir gabungan itu.
“Kalau dia kata zalim (bila) orang tak beri (kepada wakil rakyat pembangkang), dia tak beri di negeri-negeri dia, (itu) kategori macam mana?” katanya kepada pemberita, seusai suatu majlis di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
“Jadi kita kata bincang dulu. Tiada masalah (nak bincang) dan bukan tak bagi (projek dan bantuan).”
Anwar menambah meskipun peruntukan tidak diberi kepada Ahli Parlimen, bantuan untuk rakyat tetap disampaikan dan projek di kawasan mereka diteruskan.
Sebelum ini, beberapa wakil rakyat PN mengkritik Belanjawan 2023 baharu kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menepis kritikan PN, mengingatkan bahawa hanya pentadbiran Ismail Sabri Yaakob memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang, selepas pemerintah dan PH memeterai perjanjian persefahaman untuk memupuk kestabilan.
Sementara itu, Anwar turut mengulas cadangan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin supaya bantuan bencana banjir kepada Johor ditambah, daripada RM50 juta kepada RM100 juta.
“Kita beri (RM50 juta) dahulu, lagipun tak ada komisyen, jadi terus kepada mangsa,” katanya, dan menambah bantuan sudah hampir cecah RM1 bilion termasuk tebatan banjir.
Terdahulu, Muhyiddin di Dewan Rakyat mencadangkan kerajaan memberikan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen yang kawasan dilanda banjir, bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing.