
“Tujuan (usul) adalah berkenaan etika politik dan moral. Sebab itu kita sampai ke tahap ini,” katanya sebagai membalas kenyataan bekas Adun Bertam dari Bersatu Khaliq Mehtab Ishaq.
Tambahnya, usul untuk empat Adun itu mengosongkan kerusi mereka dibuat untuk menegakkan perlembagaan negeri yang mempunyai enakmen anti-lompat parti tersendiri.
Chow berkata, beliau juga sedih melihat empat Adun itu disingkirkan dari DUN kerana mereka pernah bekerjasama ketika Bersatu berada dalam Pakatan Harapan (PH).
“Tetapi kita sudah bersumpah untuk menjunjung perlembagaan negeri dan menjadi pemimpin yang terikat dengan etika politik dan moral, dan melindungi hak demokrasi rakyat,” katanya.
Terdahulu, Khaliq ketika membahaskan usul itu di sidang DUN mempersoalkan mengapa kerajaan negeri perlu membentangkan usul itu ketika pilihan raya negeri semakin hampir.
Selain Khaliq, tiga lagi Adun iaitu Zolkifly Lazim (Teluk Bahang), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) juga terpaksa mengosongkan kerusi mereka selepas usul itu diluluskan.
Chow juga kesal dengan Afif kerana mengkhianati amanah rakyat, apabila meninggalkan PH untuk menyertai Bersatu walaupun dilantik sebagai exco kesihatan, pertanian, industri berasaskan agro dan pembangunan luar bandar.
Beliau menggambarkan Afif sebagai exco negeri yang baik dan banyak memberi sumbangan kepada kawasan yang diwakilinya dan penduduk Pulau Pinang.