
P Waytha Moorthy berkata, cara Fawad dihantar pulang ke Pakistan adalah “membimbangkan”, mendakwa dia diletakkan di atas pengusung oleh pegawai perisikan Pakistan dan dimasukkan ke dalam pesawat sebaik melepasi pemeriksaan imigresen.
“Ini adalah tindakan tidak berperlembagaan dan di luar undang-undang. Kerajaan Malaysia mesti mendapatkan jaminan bahawa nyawanya tidak akan terancam,” katanya kepada FMT.
Fawad, hidup dalam buangan selama lebih 10 tahun di Kuala Lumpur, hilang Ogos lalu. Dia menulis artikel mengkritik kerajaan Pakistan dari sini, yang diterbitkan dalam akhbar harian di negara asalnya.
Menurut Waytha, pihak berkuasa Pakistan pada mulanya memberitahu isteri Fawad, Syeda, bahawa dia tidak berada di negara mereka, tetapi baru-baru ini, mereka mengakui dia ditahan di penjara di Peshawar.
Syeda berkata, Fawad telah mengadu kerana telah lama dikurung dalam sel bawah tanah di mana dia didera secara fizikal.
Waytha mempersoalkan peranan kerajaan Malaysia dalam pengusiran Fawad kerana dia memperolehi status pelarian UNHCR berikutan dakwaan penganiayaan di negara asalnya.
“Fawad adalah orang dilindungi di bawah Konvensyen Geneva,” kata Waytha, yang menggesa menteri dalam negeri mendapatkan maklumat sama ada pihak berkuasa imigresen telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antarabangsa, dan mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, peguam berpangkalan di Pakistan, Imaan Hazir mempersoalkan sama ada kerajaan Malaysia “cuai” atau “bersubahat” dalam perkara itu.
Dia mencabar dakwaan Fawad dikehendaki kerana isu “disiplin” di Pakistan.
“Ia tidak masuk akal. Jika itu benar, mengapa tiada tindakan disiplin terhadapnya? Laporan maklumat pertama terhadap Fawad tidak mendakwa dia seorang pegawai polis,” katanya.
Pakistan dipercayai telah menahan Fawad atas tuduhan “fitnah”, “menakut-nakutkan” pegawai, dan menyiarkan “maklumat palsu, tidak berasas dan tidak benar” dalam talian.
Dia dikatakan telah dibenarkan ikat jamin dalam satu kes, tetapi perkara lain terhadapnya masih berjalan.
FMT telah menghubungi menteri dalam negeri untuk mendapat ulasan.