Kosongkan kerusi 4 Adun Bersatu cubaan lumpuhkan pembangkang, kata Wan Saiful

Kosongkan kerusi 4 Adun Bersatu cubaan lumpuhkan pembangkang, kata Wan Saiful

Bekas ketua penerangan Bersatu itu berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang membentangkan usul itu menunjukkan mereka takut dengan Perikatan Nasional.

Bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata beliau yakin pengundi akan menghukum Pakatan Harapan dan Umno dalam pilihan raya negeri akan datang.
KUALA LUMPUR:
Bekas pemimpin Bersatu berkata keputusan kerajaan Pulau Pinang membentangkan usul untuk empat Adun Bersatu mengosongkan kerusi mereka kerana lompat parti adalah cubaan untuk melumpuhkan pembangkang.

Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan negeri diterajui DAP itu menggunakan semua kuasa yang ada untuk melumpuhkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Kata bekas ketua penerangan Bersatu itu, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri takut dengan gabungan yang diketuai Muhyiddin Yassin.

“Saya harap rakyat akan lihat betapa kejamnya dan rakusnya kerajaan Pulau Pinang ini dalam mengekalkan kuasa mereka.

“Saya yakin rakyat akan hukum mereka (Pakatan Harapan dan Umno) dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya kepada wartawan di luar Dewan Rakyat.

Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan usul untuk empat Adun Bersatu, Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam), Zolkifly Lazim (Teluk Bahang), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), mengosongkan kerusi mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow kemudiannya menjelaskan keputusan membentangkan usul itu kerana berkait “moral dan etika”.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menganggap apa yang berlaku hari ini sebagai sejarah hitam di DUN Pulau Pinang.

“Jelas kerajaan negeri Pulau Pinang mahu menghapuskan semak dan imbang agar mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk dalam menghadapi PRN,” katanya.

Kerajaan negeri mahu membentangkan usul itu pada Okt 2020 tetapi tertangguh selepas Adun berkenaan memfailkan satu injuksi di mahkamah untuk menghalang DUN berbuat demikian.

Bagaimanapun minggu lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan empat Adun berkenaan yang mahu menghalang usul itu dibentangkan, dengan alasan mahkamah tiada kuasa untuk campur tangan dengan pengurusan DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.