
Bekas pensyarah dan penganalisis politik di UCSI University, Ong berkata, ia sentiasa menjadi rancangannya untuk kembali ke dunia akademik selepas memutuskan untuk berehat daripada politik pada Mei tahun lepas.
Beliau telah mengadakan perbincangan dengan tiga universiti swasta berikutan PRU15 untuk meneroka kemungkinan peranan yang boleh disandangnya.
“Selepas banyak perbincangan, saya memutuskan untuk memilih Taylor’s untuk meneruskan cabaran dan peluang melancarkan program falsafah, politik dan ekonomi baharu, yang akan menjadi yang pertama di Malaysia pada 2024,” katanya kepada FMT.
Namun, bendahari DAP Selangor berkata beliau terbuka untuk bertanding semula tetapi hanya PRU16 dan bukan pada pilihan raya negeri akan datang.
“Jika ada peluang, saya terbuka untuk bertanding semula pada pilihan raya umum akan datang. Sementara itu, saya akan memberi tumpuan terhadap kerja akademik dan menyediakan idea serta cadangan kepada rakan dalam kerajaan mengenai dasar awam,” katanya.
Ong berkata, beliau mahu menggunakan pengalamannya sebagai bekas Ahli Parlimen dua penggal dan timbalan menteri perdagangan untuk membantu pelajar universiti meluaskan pandangan mereka tentang dunia.
Pada Mei tahun lalu, beliau mengumumkan untuk berehat daripada politik dan ia berlaku dua bulan selepas gagal mempertahankan kerusinya dalam pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.
Sambil mengakui bahawa kegagalan memenangi kerusi dalam CEC adalah faktor di sebalik tindakannya untuk berehat dalam politik, Ong menegaskan ia bukan sebab utama.
Keputusannya berundur membuka jalan kepada Syahredzan Johan untuk dicalonkan sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Bangi pada PRU15.
Syahredzan, salah seorang daripada beberapa anggota CEC yang dilantik, mempertahankan kerusi itu untuk Pakatan Harapan dengan majoriti kukuh 69,701 undi, mengatasi majoriti Ong sebanyak 68,768 pada 2018.
Ong dipilih sebagai Ahli Parlimen Serdang pada 2013 dan kemudian Ahli Parlimen Bangi pada 2018. Beliau juga dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri pada 2018 ketika PH memerintah.