Kerajaan bertukar, agihan peruntukan tetap ikut acuan lama, kata Jeffrey

Kerajaan bertukar, agihan peruntukan tetap ikut acuan lama, kata Jeffrey

Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan berkata Sabah dan Sarawak wajar mendapat agihan sama rata memandangkan dua negeri itu masih mundur berbanding Semenanjung.

Jeffrey Kitingan berkata Sabah dan Sarawak wajar mendapat agihan sama rata memandangkan dua negeri itu masih mundur 20 hingga 30 tahun berbanding Semenanjung. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang ketua parti pemerintah Sabah kecewa agihan peruntukan pembangunan Belanjawan 2023 masih mengikut “acuan lama” dan tidak mengambil kira keperluan pembangunan Malaysia Timur.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah Jeffrey Kitingan berkata Sabah hanya mendapat RM6.5 bilion daripada RM99 bilion peruntukan pembangunan Belanjawan 2023, sementara Sarawak RM5.6 bilion.

Jeffrey (STAR-Keningau) berkata Sabah dan Sarawak wajar mendapat agihan sama rata memandangkan dua negeri itu masih mundur 20 hingga 30 tahun berbanding Semenanjung.

“Daripada hasil Belanjawan 2023 yang berat sebelah sudah tentu Sabah akan berasa terpinggir, kerana Sabah sekarang adalah negeri termiskin. Malu juga saya mahu sebut.

“Lapan daripada 10 daerah yang termiskin adalah di Sabah, dan KDNK per kapita Sabah hanya separuh daripada KDNK per kapita purata nasional. Ini membimbangkan kita,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

“Biarlah agihan itu separuh-separuh. 50% kepada Semenanjung dan 25% kepada Sabah dan 25% kepada Sarawak … dengan itu bolehlah kita mengejar pembangunan yang ada di Tanah Melayu yang sudah 20-30 tahun ke hadapan.”

Beliau yang juga timbalan ketua menteri Sabah II berkata kerajaan pusat perlu mengambil kira saiz Sabah dan Sarawak yang lebih besar daripada Semenanjung dalam pengagihan belanjawan.

“Saiz daerah di Sabah lebih besar dari saiz negeri di Semenanjung. Jadi saya minta supaya semua asas ini diambil kira supaya belanjawan akan datang tidak lagi akan mengulangi kekecewaan Sabah dan Sarawak sebagaimana layanan Kuala Lumpur terhadap Sabah dan Sarawak seperti dulu.”

Beliau turut menarik perhatian Dewan terhadap kawasan yang diwakilinya iaitu Keningau yang saiznya sama besar dengan Pulau Pinang, Perlis, dan Melaka.

“Kawasan saya adalah kawasan yang besar yang seharusnya dilayan seperti tiga negeri di Semenanjung kerana tiga negeri di Semenanjung ini boleh masuk di dalam daerah Keningau tetapi layanan masih lagi seperti pandangan yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar peruntukan pembangunan bagi tahun ini dan seterusnya dimasukkan ke akaun amanah pembangunan Sabah dan Sarawak agar dua negeri itu dapat membangunkan ekonomi masing-masing mengikut acuan sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.