
Bekas ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Ishaq, berkata mereka telah menjangkakan dilucutkan hak oleh DUN sebaik usul dibentangkan memandangkan Pakatan Harapan mempunyai majoriti kukuh dalam DUN Pulau Pinang.
“Walaupun perit, kami terpaksa menerimanya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di luar DUN Pulau Pinang di sini.
“Insya Allah kami (PN) akan kembali dengan lebih besar dan kuat.”
Khaliq, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) telah dilucutkan daripada DUN selepas dewan meluluskan usul mengosongkan kerusi mereka kerana lompat parti.
Keempat-empat mereka memenangi kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) atas tiket Pakatan Harapan.
Mereka semua dianggap “kehilangan” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020, berdasarkan peruntukan akta anti lompat yang terkandung dalam Perkara 14A perlembagaan negeri.
Pilihan raya kecil tidak akan diadakan bagi mengisi kekosongan empat kerusi DUN tersebut memandangkan PRN dijangka berlangsung dalam tempoh empat bulan akan datang.