
“Demokrasi sudah mati. Ini tidak adil,” kata Lau kepada wartawan di luar DUN.
Terdahulu, DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam), Zolkifly Lazim (Teluk Bahang), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) kerana melompat parti.
Semua mereka memenangi kerusi itu dalam PRU14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Lau berkata, Khaliq dan Zolkifly memang ahli Bersatu.
“Bagaimana mereka boleh dituduh melompat parti?”
Presiden Gerakan itu berkata, untuk kes Afif dan Zulkifli, mereka dipecat oleh PKR.
“Atas sebab itu, tanggapan bahawa mereka bersalah kerana melompat parti adalah bercanggah dengan undang-undang anti-lompat parti persekutuan.
“Jelas ia berat sebelah,” katanya, yang menambah perlunya memperkemaskan undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang dengan di peringkat persekutuan yang diluluskan dengan kajian mendalam serta perbincangan.
Tambah Lau, penyingkiran empat Adun itu adalah satu usaha untuk mencemarkan imej PN dan menutup mulut pembangkang.
Empat Adun itu dianggap “hilang” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020, berdasarkan peruntukan akta anti-lompat yang terkandung dalam Perkara 14A perlembagaan negeri.
Perkara 14A menyatakan seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, meletak jawatan atau dipecat daripada sesuatu parti atau telah dipilih selain daripada sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik.