Tetapkan prosedur jelas elak salah guna kelulusan kuota pekerja asing, kerajaan diberitahu

Tetapkan prosedur jelas elak salah guna kelulusan kuota pekerja asing, kerajaan diberitahu

Majikan mesti membuktikan bahawa mereka telah habis semua cara untuk mengambil pekerja tempatan sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing, kata Dr S Subramaniam.

Kementerian Sumber Manusia menerima banyak aduan bahawa syarikat memecat pekerja tempatan selepas permohonan mereka untuk kuota pekerja asing diluluskan, kata V Sivakumar.
PETALING JAYA:
Prosedur yang jelas dan pemantauan yang betul diperlukan bagi memastikan majikan tidak memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat kelulusan kuota untuk mengupah pekerja asing, kata bekas menteri sumber manusia Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, majikan mesti membuktikan bahawa mereka telah habis semua cara untuk mengambil pekerja tempatan sebelum mengambil pekerja asing sebagai pilihan terakhir.

“Sebelum ini, di Kementerian Sumber Manusia, majikan perlu memberikan bukti bahawa mereka telah membuat carian melalui portal kerajaan atau mengeluarkan iklan mencari pekerja tempatan.

“Hanya apabila mereka tidak berjaya (mencari pekerja tempatan) barulah mereka boleh cuba mengambil pekerja asing,” katanya kepada FMT.

Ini selepas Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memberikan amaran bahawa kelulusan kuota yang diperoleh melalui pelan kelonggaran pengambilan pekerja asing akan dibatalkan jika majikan didapati memecat pekerja tempatan.

Majikan yang didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 60M Akta Kerja 1955 juga boleh didenda RM50,000.

Sivakumar berkata, kementerian menerima banyak aduan bahawa syarikat memecat pekerja tempatan selepas permohonan mereka untuk kuota pekerja asing diluluskan.

Yang terbaru membabitkan pemecatan 102 pekerja di Pulau Pinang, katanya memetik Bernama. Syarikat itu diarahkan untuk mengambil semula pekerja tempatan yang dipecatnya.

Subramaniam berkata, mesti ada prosedur yang jelas untuk membanteras penyalahgunaan kuota pekerja asing, termasuk mekanisme pemantauan yang betul.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sesetengah pekerjaan yang mungkin tidak mahu dibuat oleh rakyat tempatan kerana mereka mencari gaji yang lebih tinggi atau pekerjaan yang lebih sesuai dengan kelayakan mereka.

“Melainkan pekerjaan itu sendiri mengalami transformasi melalui automasi atau penggunaan teknologi, ada kemungkinan kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada warga asing dalam bidang-bidang ini dan mengisi (kekosongan jawatan terbabit) dengan rakyat Malaysia yang lebih mahir dan berpendidikan,” katanya.

Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MICCI) Shaun Cheah berkata, “dalam kebanyakan kes”, majikan bukan sengaja memecat pekerja tempatan.

“Mahkamah buruh akan mengendalikan kes-kes sedemikian jika pekerja diberhentikan secara tidak adil,” katanya.

Beliau juga bersetuju bahawa ramai rakyat tempatan tidak mahu membuat pekerjaan disifatkan kotor, berbahaya dan sukar (3D), yang sanggup diambil pekerja asing untuk meraih pendapatan.

Pada Khamis, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata, ia menyokong amaran Sivakumar mengenai tindakan terhadap majikan. Pekerja tempatan harus diutamakan untuk mengisi kekosongan jawatan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.