
Saifuddin berkata, pihak berkuasa mengetahui percubaan kumpulan yang dikenal pasti sebagai Pusat Media Al Malaka itu untuk meluaskan pengaruhnya di sini, lapor The Vibes.
“Kami tak boleh dedah butiran lanjut, tetapi orang ramai tidak perlu risau kerana kami pantau aktiviti mereka dengan kerjasama rakan kongsi keselamatan dan pencegahan keganasan antarabangsa kami,” katanya dipetik portal berita itu.
Tambahnya, sebarang percubaan untuk menggugat keselamatan negara, keamanan dan keselamatan awam akan ditangani dengan serius.
Menurut Bahagian Siber Anti-Keganasan Nordic Counter-Terrorism Network (NCTN), kandungan kumpulan itu tersedia di web tertutup (dark web) dan pautannya dikongsi dengan struktur sokongannya di Malaysia.
Turut didedahkan bahawa kumpulan itu menggunakan ideologi radikal sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengarah NCTN Andrin Raj berkata, kumpulan itu menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara dan berpotensi mencetuskan tindakan keganasan berskala kecil secara sembarangan di negara ini.
“Tujuannya adalah untuk menggugat kestabilan kerajaan berbilang kaum sekarang. Mereka mempunyai kumpulan sembang yang lebih kecil di Malaysia di mana mereka berkongsi pandangan agama dan propaganda untuk merekrut ahli,” katanya.
Kumpulan itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan media IS di Indonesia dan Filipina.
Sebelum ini dilaporkan operasi IS di rantau Asia Tenggara berpusat di selatan Filipina.
Ketuanya, yang menggunakan nama Abu Zacharia, difahamkan terbabit dengan kumpulan IS yang mengepung Marawi, Filipina pada 2017.