
Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya berkata, parti politik tidak seharusnya dibenarkan bertapak di universiti kerana mereka tidak patut masuk campur hal ehwal mahasiswa “atas alasan penyuburan demokrasi”.
Tambahnya, langkah sedemikian juga akan merosakkan demokrasi apabila melibatkan pilihan raya kampus.
“(Ia akan) melemahkan parti yg tidak didanai oleh parti politik nasional sekaligus menghilangkan pengaruh gerakan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan.
Kesatuan mahasiswa juga akan menjadi lemah apabila mengikut telunjuk parti politik, tambahnya.
Menurut kumpulan tersebut, parti politik di kampus akan menjadi gelanggang perlawanan antara cawangan parti nasional dan memberi ruang campur tangan politik di kampus.
Mereka berkata demikian sebagai respons kepada cadangan membenarkan parti politik menubuhkan cawangan di universiti awam, sesuatu yang sedang dipertimbangkan kerajaan.
Kumpulan itu turut mempersoalkan sama ada perkara ini menjadi punca Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, yang menyekat autonomi universiti dan kebebasan bersuara pelajar.
Minggu lepas, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan membenarkan parti politik menubuhkan cawangan di universiti.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Mersing Islahuddin Abas, iaitu berhubung sama ada sebarang pindaan akan dibuat pada Auku bagi membolehkan parti politik menubuhkan cawangan di universiti.