
SKMM berkata, mereka sudah menghubungi pihak penstriman Viu dan dimaklumkan tayangan filem Mentega Terbang telah diturunkan pada 27 Feb lalu.
“Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 memaklumkan tugas atau tanggungjawab untuk menapis filem atau drama di platform penstriman internet bukan terletak bawah bidang kuasa SKMM,” katanya kepada FMT.
SKMM turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau kandungan bercanggah dengan ajaran Islam atau yang mengelirukan.
“SKMM sentiasa bekerjasama dan memberikan bantuan teknikal kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri yang menjalankan siasatan bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah,” katanya.
FMT sebelum ini melaporkan, Jakim mengesahkan filem arahan Khairi Anwar itu bertentangan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan.
Jakim juga diarahkan menteri hal ehwal agama menulis laporan kepada SKMM berhubung kandungan filem itu.
Terdahulu, tular sedutan babak tertentu dalam filem berkenaan yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapa wanita itu membenarkannya keluar daripada Islam dan memeluk agama lain.
Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.
Filem dibarisi pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee mengisahkan perjalanan seorang remaja mencari jawapan bagaimana kehidupan selepas kematian.