Lantik wanita berpandukan merit, bukannya kuota, kata Rafidah

Lantik wanita berpandukan merit, bukannya kuota, kata Rafidah

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata wanita harus diambil bekerja kerana kemahiran dan kebolehan mereka.

Rafidah Aziz berkata, terdapat ramai wanita berkebolehan layak mendapat jawatan dan setanding dengan lelaki dalam lembaga pengarah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wanita harus dilantik ke jawatan tertinggi berdasarkan merit dan bukannya semata-mata untuk memenuhi kuota lembaga pengarah sebanyak 30%, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz.

“Saya tidak bersetuju dengan 30% ini kerana wanita akhirnya menjadi pengisi kuota. Saya percaya pada meritokrasi. Jangan hanya melantik seorang wanita untuk mengisi kuota,” katanya dalam ucapan penutup Forum Ekonomi Wanita 2023 di sini hari ini.

Rafidah berkata terdapat ramai wanita berkebolehan “layak mendapat jawatan dan setanding dengan lelaki dalam lembaga pengarah”.

Katanya pasaran global yang berkembang pesat tidak memandang kepada jantina tetapi pada “seseorang yang boleh memberikan manfaat” .

“Pasaran semakin tidak mengenal jantina. Jadi, jangan biarkan isu jantina mengalih perhatian dan tumpuan daripada isu substantif kemahiran, kecekapan dan kebolehan,” katanya.

Rafidah juga berkata kejayaan dan kegagalan dalam pasaran bergantung kepada individu, bukan jantina mereka.

“Selagi anda mempunyai keinginan untuk berjaya, anda akan dapat mencari pelbagai cara untuk meningkatkan prestasi,” katanya.

Sistem kuota 30% diumumkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada 2018, yang turut menggelar tahun itu sebagai Tahun Pemerkasaan Wanita, bagi membolehkan wanita berkembang maju dalam kerjaya dan kehidupan keluarga mereka.

Dalam manifesto pilihan raya 2018, Pakatan Harapan telah berjanji untuk memastikan sekurang-kurangnya 30% penggubal dasar yang dilantik di semua peringkat adalah wanita.

Walaupun beberapa kemajuan telah dicapai, namun ia masih tidak mencapai sasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.