
Pagi ini, Hakim Zaini Mazlan mengeluarkan sijil tanggung rugi, yang mengecualikan Arul Kanda daripada liabiliti undang-undang, selepas berpuas hati bahawa keterangan yang diberikannya adalah benar dan menyeluruh.
Ini berikutan mahkamah membebaskan Najib Razak daripada tuduhan salah guna kuasa tanpa memanggilnya membela diri.
Arul Kanda, yang didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu, turut dibebaskan, selepas Zaini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mana-mana tertuduh.
“Sijil ini akan menghalang semua prosiding undang-undang terhadapnya (Arul Kanda) berhubung perkara yang timbul daripada tuduhan itu,” tambah Zaini.
Zaini berkata, beliau mendapati Arul Kanda konsisten dalam memberikan keterangannya, dan menjawab semua soalan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan peguam Najib dengan sebaik mungkin.
“Saya sedar dia (boleh cuba) meminimumkan peranannya dan memperbesar sebarang salah laku oleh tertuduh lain (Najib),” katanya.
“Tetapi dia tidak (berbuat demikian). Jawapannya sedikit sebanyak memihak kepada seorang lagi tertuduh, dan pihak pendakwaan tidak pernah mencabarnya mengenai jawapannya.”
Hakim juga mendapati bahawa Arul Kanda tidak cuba untuk menyembunyikan “perbuatan jahat” yang menyelubungi 1MDB, kerana dia hanya dilantik untuk “menyelamatkan syarikat itu” daripada masalah kewangannya.
“Dia meninggalkan apa yang boleh dianggap sebagai kerjaya yang menjanjikan di luar negara dan ‘dicerca’ berhubung urusan 1MDB, mungkin secara tidak adil.
“Banyak masalah (dalam 1MDB) timbul sebelum dia memegang jawatannya,” tambah Zaini.
Najib didakwa menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Mahkamah sebelum ini membenarkan pihak pendakwaan memanggil Arul Kanda untuk memberikan keterangan bagi pihaknya.
Dalam keterangannya, Arul Kanda berkata, Najib mengarahkannya untuk menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 bagi membincangkan pindaan kepada laporan audit itu.
Dia juga berkata, Najib meluahkan kebimbangan bahawa kandungan laporan itu boleh diputar belit dari perspektif politik.