Segerakan pembaharuan, gesa aktivis disiasat atas hantaran Facebook pada 2019

Segerakan pembaharuan, gesa aktivis disiasat atas hantaran Facebook pada 2019

K Sudhagaran Stanley mengingatkan Anwar Ibrahim, ramai ahli politik Pakatan Harapan pernah disiasat di bawah undang-undang menindas seperti Akta Hasutan.

K Sudhagaran Stanley menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memansuhkan Akta Hasutan serta melakukan pembaharuan ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menggesa kerajaan segera melaksanakan pembaharuan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), selepas disiasat polis berhubung hantaran Facebook pada 2019.

K Sudhagaran Stanley menerusi catatan Facebooknya berkata, beliau mempersoalkan tindakan polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang, tetapi beliau hanya dipanggil polis Pulau Pinang berhubung perkara itu pada September 2022.

Katanya, beliau meminta untuk memberi keterangan di Kuala Lumpur kerana tidak lagi menetap di Pulau Pinang. Bagaimanapun, polis hanya membisu sehinggalah beberapa hari lalu.

“Hari ini, saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, ditemani peguam untuk memberikan keterangan. Saya disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana memfitnah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam kenyataan.

Timbul pelbagai gesaan untuk kerajaan meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang menjenayahkan kandungan dalam talian “lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan, mendera, mengugut atau mengganggu orang lain”.

Sudhagaran yang turut menyertai gesaan itu, mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyegerakan pelaksanaan reformasi institusi, khususnya memansuhkan Akta Hasutan serta meminda Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kami telah menyaksikan berulang kali bagaimana undang-undang ini disalahgunakan kerajaan terdahulu dan pihak berkuasa terhadap pengkritik dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai.

“Ramai ahli politik dari Pakatan Harapan pernah disiasat di bawah undang-undang menindas ini. Anwar sendiri disiasat di bawah undang-undang sedemikian dan anak perempuannya, Nurul Izzah, ditangkap di bawah Akta Hasutan pada 2015.

“Janganlah kita lupa bagaimana undang-undang ini digunakan terhadap kita pada masa sukar itu,” kata Sudhagaran, yang kini timbalan ketua pegawai eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Beliau juga menggesa rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentangkan semula menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), yang disifatkan lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.