
Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata pelaburan SEB dalam projek itu merupakan perbelanjaan modal strategik untuk meningkatkan kedudukan negeri berkenaan sebagai kuasa ekonomi serantau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Majlis Pecah Tanah HEP Mentarang di Kalimantan Utara, hari ini, menurut Utusan Borneo.
Terdahulu, Presiden Indonesia Joko Widodo berucap dan merasmikan majlis pecah tanah itu menyifatkan ia sebagai projek nasional strategik dan terbesar di Indonesia.
Premier dan rombongannya tiba di Kalimantan Utara melalui Tarakan kelmarin atas jemputan konsortium pelabur untuk menyaksikan pecah tanah bagi membangunkan projek HEP berkapasiti 1,375 megawatt (MW).
SEB mempunyai 25% ekuiti dalam syarikat induk yang mempunyai dua pemegang saham lain, PT Kayan Patria Pratama (25%) dan PT Adaro Energy Indonesia Tbk (50%).
Joko Widodo dalam ucapannya berkata, projek itu mencerminkan semangat kerjasama yang kuat antara rakyat Indonesia dan Malaysia sebagai negara jiran.
Beliau berterima kasih kepada masyarakat setempat terutamanya daripada suku Punan dan Lun Dayeh yang menyokong penuh projek diharapkan dapat meningkatkan taraf ekonomi tempatan.
HEP itu akan membekalkan kuasa kepada industri tempatan di Kalimantan Utara dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.