
Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), berkata Amirudin dan Izham Hashim menyertai lembaga pengarah LLSB untuk mewakili kepentingan kerajaan negeri.
Izham ialah exco yang bertanggungjawab ke atas infrastruktur dan kemudahan awam, pemodenan pertanian dan industri asas tani Selangor.
Amirudin turut menganggotai lembaga pengarah MBI.
“Amirudin dan Izham mewakili kepentingan kerajaan negeri dalam memastikan projek itu dilaksanakan secara telus dan teratur, sejajar matlamat kerajaan negeri,” kata Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan.
Terdahulu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional Selangor, Shukor Mustaffa membuat laporan polis terhadap Amirudin dan Izham atas dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung projek bernilai RM700 juta itu.
Shukor mendakwa projek yang dikenali sebagai Gerbang Maritim Selangor itu diberikan melalui rundingan terus.
Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.
Sementara itu, setiausaha akhbar Amirudin, Jay Jay Denis menafikan projek itu diberikan melalui rundingan terus.
“LLSB sedang mengumpul dana melalui inisiatif kewangan swasta.
“Amirudin merupakan pengarah syarikat itu kerana projek itu di bawah MBI,” katanya ketika dihubungi.
Inisiatif Gerbang Maritim Selangor akan menyaksikan Sungai Klang dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang diperluas dan didalamkan.