
Dalam merealisasikan objektif ini, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas “Supercharger” keluarannya di Malaysia.
Kehadiran Tesla di Malaysia dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen bateri kenderaan elektrik dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem Tesla di peringkat domestik dan global.
“Kami gembira dengan keputusan Tesla untuk turut serta dalam ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia,” kata menteri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan.
“Ini membuktikan keyakinan Tesla terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia.”
Beliau berkata, walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, Miti dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam menambah kemudahan menjalankan perniagaan, sambil terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara properdagangan, proindustri dan propelaburan
“Kami juga akan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik,” katanya.
Sementara itu, kemasukan Tesla dipermudah oleh Miti melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan bateri kenderaan elektrik dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaannya.
“Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar bateri kenderaan elektrik global terkemuka di Malaysia.
“Tesla ialah pemohon pertama inisiatif oleh Miti ini,” menurut kementerian.