Klasifikasi PN17 Pharmaniaga serlah keperluan reformasi dalam perolehan, kata badan pemikir

Klasifikasi PN17 Pharmaniaga serlah keperluan reformasi dalam perolehan, kata badan pemikir

Menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, perkembangan itu peristiwa 'mengejutkan' yang sepatutnya menyedarkan sektor farmaseutikal.

Pada Isnin, Pharmaniaga mengumumkan ia jatuh bawah klasifikasi PN17 Bursa Malaysia, merujuk kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan.
PETALING JAYA:
Kemasukan Pharmaniaga Bhd dalam klasifikasi Nota Amalan 17 (PN17) Bursa Malaysia menyerlahkan keperluan reformasi segera dalam amalan perolehan ubat-ubatan, kata sebuah badan pemikir kesihatan.

PN17 merujuk kepada syarikat mengalami masalah kewangan.

Pembekal utama farmaseutikal kepada hospital kerajaan itu, mengumumkan syarikat berkenaan jatuh di bawah klasifikasi PN17 pada Isnin, berikutan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM664.39 juta, pada suku keempat berakhir 31 Dis 2022.

Katanya, kerugian itu didorong kemerosotan RM552.3 juta kerana vaksin Covid-19 yang tidak terjual.

Menyifatkan perkembangan itu sebagai peristiwa “mengejutkan” yang patut menyedarkan sektor farmaseutikal, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata ia mempunyai “implikasi yang berpotensi teruk” bagi seluruh landskap farmaseutikal negara, terutamanya sektor kesihatan awam.

Azrul Mohd Khalib.

“Situasi yang dihadapi Pharmaniaga mendedahkan kelemahan dalam proses perolehan farmaseutikal sektor kesihatan awam semasa dan menyerlahkan keperluan untuk melaksanakan reformasi yang telah lama dipertikaikan dalam sektor ini,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib dalam kenyataan.

“Amalan konsesi eksklusif kerajaan yang memberi syarikat individu seperti Pharmaniaga dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain pengaruh dan penguasaan besar ke atas sebahagian besar sistem penjagaan kesihatan kita, termasuk perkhidmatan hospital, mewujudkan kebergantungan yang tidak sihat.

“Syarikat-syarikat ini akan dianggap sangat diperlukan dan menjadi ‘terlalu besar untuk gagal’.

“Sistem penjagaan kesihatan awam kita berisiko mengalami gangguan besar-besaran (dalam pembekalan ubat-ubatan) apabila GLC tersebut menghadapi kesukaran. Ini antara satu contohnya,” katanya.

Antara reformasi disarankan Azrul adalah mengurangkan campur tangan kerajaan, meningkatkan persaingan, mempelbagaikan pembekal, dan menyingkirkan ejen tender sebagai orang tengah.

Beliau berkata, menghapuskan kebergantungan terhadap ejen tender, yang bertindak sebagai orang tengah dalam proses perolehan dan mengenakan komisen untuk perkhidmatan mereka, merendahkan kos ubat-ubatan.

Katanya, membenarkan pembekal berunding dan membida secara terus dengan kerajaan juga berpotensi menjimatkan jutaan ringgit dana awam, meningkatkan keberkesanan kos, dan membolehkan rawatan baharu tersedia untuk pesakit.

Walaupun beliau berkata klasifikasi PN17 Pharmaniaga tidak akan mengganggu keupayaannya memberikan perkhidmatan kepada sektor kesihatan awam dalam jangka pendek, keadaan itu boleh “berubah dengan cepat” jika keadaan kewangan syarikat tidak bertambah baik dalam tempoh setahun mendatang.

Katanya, jika kerajaan memilih campur tangan dalam masalah dihadapi Pharmaniaga, ia boleh menyediakan suntikan tunai atau jamin selamat yang besar untuk GLC itu, mungkin dalam lingkungan RM700 juta hingga RM900 juta.

Kerajaan juga boleh menyediakan jaminan yang boleh dipercayai oleh Pharmaniaga untuk memudahkan urusan kewangan atau mendapatkan kredit daripada bank atau institusi kewangan lain.

Cadangan lain adalah untuk mengatur konsesi baharu buat Pharmaniaga, yang akan menjamin jumlah perniagaan ketara dan boleh diramal untuk tahun-tahun akan datang.

“Pilihan terakhir itu bagus dan membina keyakinan terhadap Pharmaniaga, tetapi tidak semestinya memberikan manfaat buat kerajaan, sistem penjagaan kesihatan mahupun pesakit secara keseluruhan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.