
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Armizan berkata, perkhidmatan disediakan pekerja kontrak pembersihan diswastakan pada 1997 untuk membangunkan ekonomi negara, mengurangkan beban kewangan kerajaan serta meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan produktiviti.
“Sehubungan itu, kerja-kerja pembersihan seperti ini lebih sesuai dikekalkan sebagai perkhidmatan diswastakan, yang mana ini merupakan satu kaedah penyumberluaran boleh dilaksanakan syarikat-syarikat pembersihan.
“Tambahan pula, jika cadangan menjadikan pekerja kontrak pembersihan sekolah dan hospital sebagai penjawat awam kembali dilaksanakan, ini akan memberikan pertambahan implikasi kewangan kepada kerajaan, khususnya melalui tanggungan pembayaran pencen.”
Februari tahun lalu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu menuntut pekerja kontrak hospital dan pekerja sampingan dimasukkan semula dalam perkhidmatan awam.
Setiausaha Eksekutifnya, Sarasvathy Muthu berkata, mereka tidak mendapat kenaikan gaji dan cuti tidak sepadan tempoh perkhidmatan, selain terpaksa bekerja di empat lokasi berbeza dalam sehari.
Pada Jun 2022, M Sivaranjani dari Rangkaian Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) berkata, pembersih di premis kerajaan harus dilayan penjawat awam kerana mereka menyediakan perkhidmatan penting.
Pada 2020, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa kerajaan ketika itu menyerap pekerja kontrak pembersihan dalam perkhidmatan awam bagi memastikan hak mereka dilindungi.