
Pengarah Maritim Johor, Nurul Hizam Zakaria, berkata keadaan mereka juga sihat ketika ditemui tentera Indonesia pada 1.45 tengah hari tadi.
Beliau berkata, kakitangan tersebut adalah Pembantu Perikanan Pengkalan Perlindungan Sumber Tanjung Sedili, Fatimah Razak, 36, serta Pembantu Laut, Zaharin Baharudin, 33; Abd Halim Sanip, 52 dan Mohd Marzuki Jusoh, 53.
“Bot yang dinaiki mereka itu dipercayai mengalami kerosakan bateri sebelum hanyut hingga ke perairan negara itu kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir dikesan.
“Kita dalam proses untuk membawa pulang bot itu, yang kini dalam proses pembaikan oleh tentera Indonesia. Semua mereka akan diiringi tentera Indonesia semasa proses serahan di perairan Johor Barat hari ini,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Sungai Pulai.
Turut hadir Pengarah Perikanan Johor Zainudin Abd Wahab.
Nurul Hizam pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk tentera Indonesia, Konsulat Jenderal Indonesia dan Konsulat Jeneral Singapura yang turut sama membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.
Beliau berkata, Op Carilamat juga secara rasminya ditamatkan pada 2 petang tadi.
Semalam, bot tersebut terputus hubungan dan gagal dikesan selepas berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari, yang sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di Johor Bahru, pada 6.30 petang hari sama.