
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Saiful Lizan Ibrahim berkata, kerosakan itu mungkin disebabkan cuaca buruk di perairan Johor Selatan sejak semalam.
“Semalam, cuaca di perairan Johor Selatan amat teruk dengan hujan lebat.
“Ada kebarangkalian bot ini berlaku kerosakan dan hanyut di perairan dan mungkin hanyut ke perairan antarabangsa jiran,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Beliau mengulas kejadian sebuah bot Jabatan Perikanan Johor bersama empat krunya dipercayai hilang ketika dalam perjalanan dari Pengerang di Kota Tinggi ke Pangkalan Tampoi, Johor Bahru petang semalam.
Terdahulu, Pengarah Maritim Johor, Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam Selasa.
Katanya, bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan, selepas bertolak dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya tiba di Pangkalan Tampoi pada 6.30 petang hari sama.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, operasi penyelamat diketuai Maritim Malaysia dan dibantu polis marin, Police Operations Command Centre (POCC) dari Singapura serta Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan dari Indonesia.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Perikanan memberi bantuan sewajarnya kepada waris empat kru hilang itu.
“Harap semua mangsa ditemui dengan selamat,” katanya.