
Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, Sanusi tidak mempertikaikan kedaulatan mana-mana pihak, sebaliknya hanya menuntut hak Kedah dan rakyatnya.
“Menteri besar Kedah (Sanusi) tidak pertikai kedaulatan siapa-siapa. Jauh sekali menghina dan merendahkan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
“Tuntutan hak untuk Kedah dan rakyatnya itu kami sokong dan dokong,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Lim membidas kenyataan Sanusi mempersoalkan keabsahan Pulau Pinang dan mendakwanya mengapi-apikan sentimen ekstremis.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menggesa Sanusi menarik balik kenyataan terbabit kerana menyakiti hati 1.7 juta rakyat Pulau Pinang dengan meragui dan mempertikaikan kedaulatan negeri berkenaan.
Sanusi dilaporkan membuat kenyataan itu ketika berucap dalam sebuah acara belia di Alor Setar, dengan klipnya disiarkan di Facebook pada 26 Jan lalu.
Dalam ucapannya itu, Sanusi memberitahu beliau meragui kedaulatan Pulau Pinang kerana negeri berkenaan dipajak dari Kedah.
Yahaya yang juga pesuruhjaya PAS Kedah turut mempertahankan kenyataan Sanusi sebelum ini dengan berkata kedaulatan Pulau Pinang di bawah Kedah.
“Saya tak pasti Bagan (Lim) ada lihat pelbagai penulisan daripada perspektif sejarah mahupun undang-undang mengenai kedudukan Pulau Pinang dengan Kedah.
“Sama ada perjanjian pada 1791 mahupun 1899, soal kedaulatan Pulau Pinang sebenarnya adalah di bawah Kedah. Kalau Bagan mahu perjuangkan kedaulatan Pulau Pinang, maka Kedah sebenarnya kedaulatan Pulau Pinang.”
Katanya, Sanusi hanya ingin mengetahui nilai pajakan yang setimpal dengan Kedah dan nilai pajakan itu menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan, bukannya Pulau Pinang.
“Segarang-garang menteri besar Kedah, Pulau Pinang dan rakyatnya cukup bekalan air dan tak pernah sekat lagi,” katanya.