Penangkapan pelajar tunjuk perlunya IPCMC, kata bekas Ahli Parlimen

Penangkapan pelajar tunjuk perlunya IPCMC, kata bekas Ahli Parlimen

IPCMC boleh membantu menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku oleh polis atau mereka hanya 'bersembunyi di sebalik undang-undang', kata Charles Santiago.

Dalam video tular, seorang pelajar dilihat menggunakan kata-kata dan tanda kesat untuk mengkritik pihak yang membuat kertas Sejarah SPM.
PETALING JAYA:
Penahahan dua pelajar menengah yang mengkritik kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengesahkan keperluan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) diwujudkan, kata seorang bekas Ahli Parlimen.

Charles Santiago daripada DAP berkata, suruhanjaya itu boleh membantu menentukan sama ada terdapat sebarang salah laku oleh polis dalam tangkapan kedua-dua pelajar itu atau mereka hanya “bersembunyi di sebalik undang-undang”.

“Tindakan polis itu tidak wajar dan banyak menunjukkan masalah yang lebih besar dalam pasukan (polis). Ia hanya menunjukkan betapa rosaknya sistem itu dan wujudnya keperluan untuk pembaharuan,” kata bekas Ahli Parlimen Klang itu.

Beliau berkata, bawah rang undang-undang (RUU) IPCMC yang dicadangkan pada 2019, orang ramai boleh membuat aduan bawah Seksyen 22 jika mereka merasakan penahanan mereka tidak munasabah, tidak adil, menindas atau bersifat diskriminasi.

Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah, menjawab kritikan bahawa polis mengambil tindakan yang berat, berkata semua orang, termasuk dua remaja itu, terikat dengan undang-undang.

Kedua-dua pelajar itu dilaporkan ditahan selepas polis menyerbu rumah mereka, merampas telefon mereka, dan memaksa mereka menjalani ujian dadah.

“Penyalahgunaan kuasa ini (oleh polis) menekankan keperluan untuk IPCMC dikembalikan kerana ia penting dalam cara kita mengatur pasukan polis,” kata Santiago.

Beliau juga berkata, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani harus menasihati pasukannya mengenai garis panduan semasa membuat tangkapan sedemikian.

RUU IPCMC telah dibatalkan, mengekalkan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), berkuat kuasa pada Jun tahun ini, yang disifatkan oleh pengkritik sebagai versi IPCMC yang lemah.

Dalam video yang dikongsi secara meluas, kedua-dua pelajar itu dirakam menggunakan bahasa kesat dan soalan mengejek tentang sejarah Singapura dalam kertas sejarah SPM. Mereka kemudian mengeluarkan satu lagi video memohon maaf atas tindakan mereka.

Mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Kecil dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata, IPCMC boleh mempertanggungjawabkan polis jika mereka menangkap seseorang tanpa alasan.

Bagaimanapun, dengan IPCC, tindakan tatatertib terhadap pegawai yang melakukan sebarang salah laku ditangani oleh polis dan bukan oleh badan luar.

“Jika mereka tidak mengembalikan RUU IPCMC, mereka perlu meminda Akta IPCC untuk membolehkan pesuruhjaya bertindak ke atas kes salah laku polis dan mempertanggungjawabkan pasukan polis,” katanya.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman berkata, dalam kes sedemikian, polis perlu melihat keadaan yang memerlukan penahanan.

“Untuk kes sebegini, polis mesti berfikir secara rasional. Walaupun terdapat peruntukan undang-undang berhubung kes ini, polis khususnya pegawai penyiasat boleh menggunakan budi bicara,” katanya.

Yang terbaru menyertai perdebatan mengenai perkara itu ialah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang menggesa peraturan mengenai tangkapan polis disemak semula.

Kok berkata, tidak perlu untuk menahan dua remaja itu memandangkan kesalahan itu bukan serius.

“Sudah memadai untuk polis merampas telefon bimbit yang digunakan, merakam keterangan remaja, dan kemudian merujuk kes kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.