Kerana isu telur ayam India, Wee terima surat tuntutan pengimport

Kerana isu telur ayam India, Wee terima surat tuntutan pengimport

Peguam S Ravichandaran berkata, anak guamnya J&E Advance Tech Sdn Bhd berdepan kerugian dan reputasi tercemar akibat 'kenyataan tidak wajar' Ahli Parlimen itu.

Ayer Hitam MP Wee Ka Siong said the government should quickly resolve the shortage in supply of eggs so it will not be a problem during the coming Ramadan and Aidilfitri.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat pengimport telur ayam menghantar surat tuntutan kepada Wee Ka Siong kerana mendakwa Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mengeluarkan kenyataan “mengelirukan, tidak tepat dan jahat” mengenai telur ayam import dari India.

Dalam surat tuntutan yang disiarkan di Facebook Wee, peguam S Ravichandaran berkata, anak guamnya J&E Advance Tech Sdn Bhd berdepan kerugian dan reputasi tercemar akibat “kenyataan tidak wajar” presiden MCA itu.

Wee yang sering membangkitkan isu bekalan telur ayam di negara ini, membawa telur ayam diimport dari India, telur tempatan dan telur omega untuk membuat perbandingan saiz serta harga di Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Ravichandaran mendakwa Wee menggunakan kelebihannya di Parlimen untuk menyatakan telur ayam diimport mengambil masa empat hingga lima minggu untuk sampai melalui jalan laut dan mendakwa telur ayam diimport kelihatan lebih kecil serta berkualiti rendah.

“Dilihat secara keseluruhan, kenyataan anda di Parlimen, media dan platform media sosial kelihatan didorong semata-mata untuk menjuarai atau menyokong kepentingan penternak ayam di kawasan Parlimen anda tanpa mengambil kira penternak di kawasan lain dalam negara,” kata Ravichandaran dalam surat bertarikh 23 Feb itu.

“Kami diarahkan menuntut satu kenyataan yang menggambarkan keadaan sebenar dan tepat terhadap situasi di pasaran ketika ini yang memerlukan telur ayam diimport dan harga runcit sebenar telur import ini disebarkan anda sendiri sebagai Ahli Parlimen bertanggungjawab.”

Dalam tindak balasnya, Wee “menafikan sekeras-sekerasnya” membuat sebarang tuduhan jahat atau tidak wajar berkaitan perkara itu kerana kekurangan bekalan telur ayam adalah isu kepentingan negara dan menjejaskan penternak ayam tempatan.

“Tambahan, saya langsung tidak tahu mengenai kepentingan anak guam anda, dan kenyataan saya bertentangan keputusan kementerian (Pertanian dan Keterjaminan Makanan) mengimport telur ayam bagi mengatasi isu kekurangan telur di Malaysia,” jawab Wee, yang turut dimuat naik ke Facebooknya.

“Sekiranya anak guam anda mempunyai maklumat berkaitan kebaikan mengimport telur ayam dari India, anak guam anda dijemput memberi maklumat itu kepada saya. Saya akan bertindak sebagai Ahli Parlimen bertanggungjawab.”

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat, keputusan mengimport telur dari India adalah langkah sementara untuk memenuhi permintaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.