
Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata, lebih baik kerajaan membenarkan pelancong mendapat bayaran balik cukai nilai tambahan (VAT) seperti diamalkan di Singapura, Australia, Kanada, negara-negara Kesatuan Eropah, Korea Selatan dan Jepun.
Di bawah belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini, Putrajaya merancang memperkenalkan cukai barangan mewah tahun ini bagi jam tangan dan fesyen mewah.
Ahli Parlimen Puchong itu turut menggesa kerajaan membentangkan rang undang-undang perubahan iklim tahun ini.
Bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim itu memberi respons terhadap kenyataan oleh menteri kini, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengatakan tempoh dua hingga tiga tahun akan diperlukan untuk mendraf dokumen berkenaan.
Yeo berkata, jika Putrajaya menganggap perubahan iklim sebagai isu serius dan mendesak, “kerajaan perlu ada tindakan yang setaraf”.
“Dengan ini, cadangan…ialah supaya kerajaan menggubal dan membentang RUU Perubahan Iklim pada tahun ini. Ini bukan sasaran yang mustahil, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan di Dewan Rakyat.
Bagi isu penjagaan kesihatan, Yeo mencadangkan Putrajaya mengambil pendekatan universal berkaitan saringan Hepatitis B wanita hamil bagi membendung penyebarannya daripada ibu kepada anak.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menghidupkan semula inisiatif vaksinasi bagi virus papiloma manusia (HPV) dan melaksanakan program “catch-up” bagi mereka yang terlepas suntikan vaksin.
Program itu ditangguhkan selepas sekolah-sekolah ditutup ketika pandemic Covid-19, dan dananya dialihkan untuk program vaksinasi kebangsaan, katanya.
Memetik statistik Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Yeo berkata lebih 500,000 kanak-kanak perempuan terlepas suntikan vaksin HPV, dan ini mampu membawa kepada lebih banyak kes kanser services serta penyakit berkaitan dalam tahun mendatang.