Australia hormat keputusan Putrajaya ke atas Lynas

Australia hormat keputusan Putrajaya ke atas Lynas

Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata, Australia dan Lynas sentiasa meletakkan tahap perlindungan tertinggi ke atas alam sekitar.

Lesen Lynas beroperasi di Malaysia diperbaharui tiga tahun lagi tanpa sebarang perubahan syarat, bermakna syarikat itu dilarang mengimport dan memproses nadir bumi selepas 1 Julai ini.
KUALA LUMPUR:
Australia menghormati sebarang keputusan kerajaan Malaysia berhubung operasi loji nadir bumi di Gebeng, Pahang milik Lynas Rare Earths Ltd, kata Menteri Luarnya, Penny Wong.

Beliau berkata, elemen nadir bumi merupakan bahagian penting dalam ekonomi baharu, termasuk dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi tinggi lain.

“Saya tahu ia menjadi isu sejak sekian lama. Jadi, kita semua perlu mencari cara untuk memastikan kita boleh melombong dan memproses dengan cara yang boleh mengekalkan kecekapan syarikat kerana kita semua perlukan nadir bumi ini.

“Kami menghormati kedaulatan dan hak (kerajaan Malaysia) untuk membuat keputusan dalam perkara ini,” katanya dalam wawancara bersama Bernama berhubung lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd boleh ditamatkan jika gagal mematuhi larangan pengeluaran sisa radioaktif di Malaysia selepas 1 Julai ini.

Wong berkata, Australia dan Lynas sentiasa meletakkan tahap perlindungan tertinggi ke atas alam sekitar.

Walaupun Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) meluluskan pembaharuan lesen Lynas selama tiga tahun sehingga 2 Mac 2026, aktiviti pemecahan dan larut lesap (C&L) yang menghasilkan sisa radioaktif tidak lagi boleh dijalankan di Gebeng mulai 1 Julai ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada 15 Feb lalu berkata, semua syarat lesen yang diputuskan sebelum ini mesti terus dipatuhi Lynas.

“Aktiviti lain yang tidak melibatkan pengeluaran sisa radioaktif dibenarkan terus beroperasi,” katanya.

Sejak beroperasi di Malaysia pada 2012, Lynas mengeluarkan kira-kira 1.08 juta tan metrik sisa radioaktif dan jumlah itu dijangka mencecah 1.2 juta tan metrik menjelang Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.