
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menggesa kenyataan itu ditarik balik kerana ia telah menyakiti hati 1.7 juta rakyat Pulau Pinang dengan meragui dan mempertikaikan kedaulatan negeri itu.
Lim berkata, Perlembagaan Persekutuan telah memberi nyawa dan juga kuasa perundangan kepada Pulau Pinang sebagai negeri yang berdaulat di bawah kuasa 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau wajar mendapatkan nasihat daripada pakar perundangan sebelum membuka mulut menyerang kedaulatan negeri Pulau Pinang, secara tidak langsung beliau mempertikaikan kuasa yang dipertua negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya rasa ini sudah melampau dan tidak bertanggungjawab, saya minta beliau tarik balik tuduhan, Sanusi jangan main-main dengan Pulau Pinang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan Lim itu mengundang reaksi beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kedah yang cuba memberi penjelasan dan mendakwa Lim cuba mengelirukan dewan.
Awang Hashim (PN-Pendang) mencelah dengan mempersoal adakah kerajaan masih membayar pajakan kepada kerajaan Kedah daripada perjanjian tahun 1869.
Manakala, Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) turut bangkit mempertahankan fakta bahawa Pulau Pinang membayar pajakan kepada Kedah.
Lim bagaimanapun berkata, Pulau Pinang tidak pernah membayar pajakan berkenaan sebaliknya bayaran dibuat oleh kerajaan persekutuan.
Terdahulu, Sanusi dilaporkan membuat kenyataan itu dalam ucapan pada satu acara belia di Alor Setar, dengan klipnya disiarkan di Facebook pada 26 Jan.
Dalam ucapannya itu, Sanusi memberitahu beliau meragui kedaulatan Pulau Pinang kerana negeri berkenaan dipajak dari Kedah.
Kenyataan Sanusi itu turut mendapat perhatian, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada 9 Feb lalu tampil membuat membuat laporan polis terhadap menteri besar Kedah itu berhubung dakwaan Pulau Pinang “dipajak” dari negeri itu.
Rayer menyifatkan kenyataan Sanusi adalah subversif, mengganggu, serta mempersoalkan kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong.