
Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata, mengikut jadual asal kapal itu sepatutnya disiapkan dan diserahkan pada Mac dan Okt ini.
Bagaimanapun, tiada tambahan kos akan dikenakan susulan kelewatan projek itu, katanya lapor Bernama.
“Pada masa ini, peratus kemajuan keseluruhan pembinaan ketiga-ketiga OPV APMM ialah sebanyak 74.62% dan pihak syarikat pembina, komited untuk menyerahkan dua buah kapal OPV pada tahun ini, manakala kapal OPV terakhir (ketiga) dijangka akan diserahkan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab usul Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, yang mengemukakan usul mengenai penggantian segera aset-aset APMM yang sudah uzur.
Pada 6 Jan lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta, projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan masing-masing iaitu pada Mac dan Okt hadapan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama, namun memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah.
Kerajaan sebelum ini menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek kapal OPV milik APMM yang kini diambil alih Kementerian Kewangan, disiapkan pada tahun ini.