
Beliau berkata, undang-undang itu akan diteliti secara holistik, dengan merangkumi perkara berkaitan kebajikan pekerja gig dari jaminan pendapatan sehingga mewujudkan satu mekanisme aduan terhadap mereka.
“Buat masa ini, kita tidak memiliki satu mekanisme aduan yang baik (untuk pekerja gig). Perkara ini akan ditelitikan.
“Melalui Perkeso, Kementerian Sumber Manusia menjamin akan memastikan perlindungan sosial kepada pekerja-pekerja gig ini turut diberi perhatian yang serius,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sivakumar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi soal jawab yang ingin tahu setakat mana komitmen kerajaan untuk mengusahakan dan mewajibkan agar satu dasar atau akta yang jelas untuk membela nasib pekerja gig ekonomi.
Pada 2021, bekas menteri sumber manusia M Saravanan pernah mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang bagi mengawal selia pekerja gig yang hanya menerima perlindungan sosial di bawah skim keselamatan sosial bekerja sendiri Perkeso.
Pada Mei 2022, Saravanan turut mengulangi bahawa kementerian mengambil berat keperluan dan kebajikan pekerja gig, dengan dianggarkan seramai empat juta rakyat Malaysia menceburi bidang ekonomi gig.