
Menerusi sebuah gurindam, Halimah telah memohon maaf hari ini di Dewan Rakyat.
Johari meminta Halimah menjawab permintaan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) agar beliau menjelaskan kenyataannya, yang sebelum ini dinafikan.
“Kalau ada jarum peniti, jangan disimpan dalam peti, andai ada ucapan di salah erti, saya menyusun 10 jari,” kata Halimah.
“Niat di hati suara rakyat saya juarai, semak dan imbang kerajaan madani, biar integriti, bukankah itu peranan hakiki selaku wakil rakyat?”
Beliau kemudian meminta Ahli Parlimen lain merujuk kepada Hansard Dewan pada 14 Feb, dari muka surat 124 hingga 137, untuk melihat kenyataannya sepenuhnya.
Johari kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Halimah dengan berkata, beliau telah menjawab semua pertanyaannya.
“Terima kasih Kapar. Saya anggap kes ini telah selesai dan kita boleh bergerak seterusnya,” katanya.
Minggu lepas, Yii mengemukakan usul agar Halimah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya, menuduh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu cuba mengelirukan Dewan.
Tambahnya, Halimah sepatutnya lebih berhati-hati membuat kenyataan sebagai wakil rakyat dan juga ahli profesional perubatan.
Halimah sebelum ini dikatakan mengaitkan skim hidangan kos rendah kerajaan dengan autisme dan kanser semasa perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 14 Feb.
Transkrip yang diperoleh daripada Hansard menunjukkan bahawa beliau berkata, golongan B40 dan miskin tegar tidak seharusnya diberi “makanan berkualiti rendah” yang boleh “menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, penyakit autoimun, autisme dan lain-lain”.
Komen Halimah mengundang kritikan daripada Ahli Parlimen dan kumpulan berkaitan autisme, tetapi beliau kemudian berkata kenyataannya telah disalah erti.