Hina Agong, pekerja ladang sawit didenda RM6,500

Hina Agong, pekerja ladang sawit didenda RM6,500

Hanis Nordin mengaku salah menghina Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan tertuduh membayar denda atau berdepan enam bulan penjara. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Pekerja ladang sawit didenda RM6,500 atau berdepan enam bulan penjara kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, dalam hantaran Facebook pada Disember tahun lalu.

Hanis Nordin, 34, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak susulan menghina Agong berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan.

Dia mengaku menerbitkan hantaran dalam Facebook, pada 3 pagi, 10 Dis tahun lalu.

Hantaran itu dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) persekutuan, pada 13 Dis.

Kesalahan itu dihukum mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, memperuntukan maksimum denda RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, termasuk denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan berulang selepas sabitan.

Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam, merayu hakim mengenakan hukuman ringan atas alasan hantaran itu disalah tanggap dan dia tidak bermaksud menyakiti sesiapa.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan.

“Tertuduh melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan gagal mengikuti prinsip Rukun Negara kedua dan kelima, yang mana kesetiaan kepada raja dan negara, dan kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.