Bantahan pembangunan ladang HSK Kledang Saiong: MB sembah maklum Sultan Nazrin

Bantahan pembangunan ladang HSK Kledang Saiong: MB sembah maklum Sultan Nazrin

Saarani Mohamad berkata, beliau memaklumkan projek itu tidak melanggari peraturan dan Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) dalam hutan simpan kekal yang diluluskan kepada Perak.

Saarani Mohamad (tengah) menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Kick Off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad telah menyembah maklum kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berhubung projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong yang dibantah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Saarani berkata beliau memaklumkan projek itu tidak melanggari peraturan dan Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) dalam HSK yang diluluskan kepada Perak adalah seluas 100,000 hektar namun kerajaan negeri telah mengurangkan keluasan zon itu kepada kira-kira 32,000 hektar.

“Semasa moratorium itu diumumkan iaitu kerajaan persekutuan mengumumkan tiada lagi ladang hutan, kami ada baki kira-kira 6,000 itulah yang terakhir sekali telah kami luluskan tahun lepas dengan kebenaran menteri.

“Selain yang disebutkan di Kledang Saiong itu sebelum ini sudah ada ladang hutan yang dibuat, jadi ini bukanlah perkara luar jangka atau yang pelik berlaku…yang sedang dihebohkan ini sebab kita melalui proses pendengaran awam jadi orang ramai boleh memberi pandangan balas kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Bagi Tahun 2023 di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong di sini hari ini.

Saarani berkata kerajaan negeri turut mematuhi Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengkaji risiko projek berkenaan termasuk bencana banjir.

“Sekiranya JAS kata ia tidak boleh dibuat kerana risiko banjir contohnya, kami tidak akan buat, tetapi sekiranya tiada kami boleh meneruskannya sebab ia adalah penanaman kembali hutan.

“Hutan yang telah dikosongkan dan dibuat pembalakan sebelum ini atau hutan yang telah tua jika tidak ditanam semula akhirnya akan pupus sebab itu kami buat secara berhemah dan Perak ini antara negeri terbaik dari segi pengurusan hutan.

Pada 17 Feb lepas, lapan NGO menyerahkan memorandum bantahan cadangan projek pembangunan ladang hutan berkeluasan 4,280 hektar di HSK Kledang Saiong kepada wakil Pejabat Sultan Perak di Kuala Kangsar bagi memohon campur tangan Sultan Nazrin agar projek ladang monokultur itu dibatalkan.

Kandungan memorandum itu antaranya meminta Sultan Nazrin memanjangkan kepada pihak berkuasa negeri supaya mematuhi ketetapan Mesyuarat MTN ke-79 pada 2 Dis 2021 yang bersetuju secara prinsip mengenai pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam HSK di Semenanjung selama 15 tahun.

Terdahulu, Saarani dalam ucapannya berkata sistem EWS yang dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM800,000 itu bertujuan menjadikan Taman Eko-Rimba sebagai sebuah destinasi ekopelancongan hutan yang selamat, selesa dan kondusif kepada pelancong.

“Sistem ini telah siap dibina di dua Taman Eko-Rimba Negeri Perak iaitu di Taman Eko-Rimba Kledang Saiong dan Taman Eko-Rimba Lata Iskandar. Kemudahan ini secara tidak langsung akan menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa ke kawasan Taman Eko-Rimba ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.