23 tahun di sebalik tirai besi, genggam PhD terus jadi impian

23 tahun di sebalik tirai besi, genggam PhD terus jadi impian

'Alex' dipenjara sejak remaja kerana membunuh, berjaya mendapatkan diploma, dua ijazah dan sedang melengkapkan tesis PhD di penjara.

Alex mengambil nota dalam usahanya menghabiskan pengajian peringkat PhD dalam pentadbiran perniagaan.
KAJANG:
Selama 23 tahun, “Alex” berada di sebalik tirai besi kerana disabit membunuh majikannya akibat amarah.

Bagaimanapun, penahanan sejak usia remaja itu tidak pernah menggugat semangat membuka lembaran baharu dan menyekat cita-citanya.

Kini berusia 37 tahun, “Alex” (bukan nama sebenar) dijangka menghabiskan pengajian doktor falsafah dalam pentadbiran perniagaan tahun depan. Dia bekerja keras melengkapkan tesis PhD, melibatkan kajian yang begitu dekat dengan dirinya: Niat keusahawanan dalam kalangan banduan.

Kedoktoran falsafah akan menjadi mahkota kejayaan bagi Alex, selepas lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendapatkan diploma, dan ijazah sarjana muda serta sarjana ketika dipenjara.

Kerana bawah umur, Alex tidak dikenakan hukuman penjara, namun diperintah ditahan atas kuasa Sultan Selangor (negeri di mana kesalahan dilakukan). Orang dewasa yang disabit membunuh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau berdepan hukuman mati.

Mengikut undang-undang, penahanan atas perintah Sultan bermakna Alex layak dibebaskan berdasarkan kuasa budi bicara ketua negeri itu.

Bagaimanapun, Alex memberitahu FMT, dia akan memohon pengampunan diraja.

Ketika ditemui di perpustakaan Penjara Kajang baru-baru ini, Alex kelihatan teruja bercakap mengenai perjalanan akademiknya.

Katanya, Jabatan Penjara sangat membantu dan menyokong impiannya.

“Saya sedang mengumpul data berkaitan dengan kajian saya sekarang. Saya mempunyai akses internet di perpustakaan, namun ada beberapa laman web tidak boleh dilayari di sini.

“Namun, tak mengapa kerana saya boleh tulis apa yang diperlukan untuk kajian saya dan pegawai penjara dengan senang hati membantu,” katanya.

Seorang pegawai memberitahu FMT, bantuan disediakan kepada Alex bertepatan dengan falsafah jabatan itu melayan banduan dengan berperikemanusiaan.

Motivasi Alex terus tegar, datang daripada keinginannya mengejar ilmu yang timbul ketika ditahan di pusat tahanan juvana.

“Saya kenal seorang banduan yang menduduki peperiksaan SPM. Jika dia boleh lakukannya, saya juga boleh, tetapi rakan-rakan saya tidak yakin dengan impian saya memandangkan saya berada dalam situasi ini.

“Mereka kata, apa sahaja sijil saya dapat tidak berguna kerana saya akan berada di sini selama-lamanya. Saya mahu buktikan mereka salah.”

Rutinnya di perpustakaan bermula 9 pagi, selama empat ke lima jam setiap hari selepas menghabiskan tugasan harian ditetapkan oleh penjara. Pada malamnya, dia menelaah jurnal dan merancang pembelajarannya untuk hari esok.

Ditanya sama ada dia mungkin akan diampunkan, Alex membalas, dia berharap sedemikian.

“Semua orang buat kesilapan,” katanya, sambil menyatakan dia berhak mendapat peluang kedua.

“Apabila saya keluar kelak, saya mahu menjadi pakar motivasi kepada orang muda dan menggalakkan mereka belajar dan patuh undang-undang kerana mereka tidak tahu bagaimana menjadi banduan dengan label itu terpalit selamanya.”

Dia mengaku sedih melihat banduan keluar masuk sedangkan dia terus berada dalam penjara.

Nasihatnya buat anak muda yang berfikir untuk mencabar undang-undang ringkas: Fikirlah dua kali.

“Pengalaman itu boleh mematahkan semangat anda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.