
Beliau yang juga ketua penerangan parti itu, mendakwa sudah ada bibit ahli akar umbi parti itu mula menuntut habuan seumpama itu seperti berjuang untuk mendapatkan ‘ghanimah’ (harta perang).
Menteri komunikasi dan multimedia itu, juga memberi amaran kepada mereka agar tidak mengamalkan budaya itu kerana ia tidak pernah wujud dalam sejarah dan identiti PKR selama ini.
Tegasnya, amalan itu juga berisiko merosakkan parti jika tidak dihentikan segera dan dibiarkan menjadi satu kebiasaan.
“Kita tak berjuang untuk jawatan, kita tak berjuang untuk ‘ghanimah’ (harta perang). Saya dengar ada bibit-bibit yang sebenarnya merosakkan perjuangan kita. ‘Ada elaun tak nak datang mesyuarat?’ Jangan ada perkara seperti itu.
“Itu bukan dalam DNA kita. Itu bukan dalam sejarah perjuangan kita. Jangan jadikan perkara seperti itu satu kebiasaan dalam parti kita.
“Kena ingat, kita lahir di jalan raya dan berjuang berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan). Kita perjuangkan nasib rakyat, bukan poket, bukan kocek, bukan projek,” katanya menurut Berita Harian.
Selain itu, Fahmi turut menegaskan beliau tidak pernah meminta atau melobi untuk mendapat jawatan menteri disandangnya sekarang, tetapi hanya dimaklumkan kira-kira lima minit sebelum Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengumumkannya secara langsung kepada umum.
Beliau berkata, Anwar sempat berseloroh dengan memaklumkan “namanya terpaksa digugurkan daripada pertimbangan jawatan menteri”.
“Saya jawab ok, saya faham. Tapi tiba-tiba perdana menteri kata ‘Apa yang kamu faham? Raptai esok jam 9 pagi, angkat sumpah jam 3 petang’. Saya terpinga-pinga dan tanya apa yang dimaksudkan.
“Barulah perdana menteri maklumkan, ‘Fahmi, saya lantik kamu jadi menteri komunikasi dan digital.’ Itulah PKR, bagi pun ok, tak bagi pun tak apa. Patuh dan taat.
“Ingat, kita tak berjuang untuk jawatan, kekayaan. Kalau itu yang menjadi paksi, keutamaan, objektif matlamat kita, rosak perjuangan ini. Kita kena ingat tangisan rakyat,” katanya.