
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman, berkata pada awalnya pihaknya menerima arahan melakukan penerbangan pemindahan perubatan terhadap bayi lelaki itu yang mengalami sawan, bengkak kaki, cirit-birit dan bintik-bintik merah di badan.
Bagaimanapun, Hasrizal berkata, bayi itu meninggal dunia ketika anak kapal dalam penerbangan ke perkampungan berkenaan.
“Setelah hampir satu jam penerbangan dengan menggunakan pesawat jenis Mi-17-IV, kru dimaklumkan bahawa bayi tersebut telah pun meninggal dunia sebelum pesawat tiba di Pos Balar dan disahkan oleh doktor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bapa bayi itu, Heryak Anjang, 28, dan ibu serta seorang adik perempuan bayi itu turut sama dalam penerbangan tersebut.
Menurut Hasrizal, pesawat terlebih dahulu mendarat di Balai Bomba Gua Musang untuk mengambil dua jururawat dari Hospital Gua Musang untuk dibawa ke Pos Balar bagi mengeluarkan jenazah bayi tersebut.
“Jenazah bayi selamat dipindahkan dan dihantar ke hospital berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, pesawat dikemudi Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad dari tentera udara, dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hafiz Sulaiman itu selamat mendarat di Subang.
“Penerbangan tersebut berjaya dilaksanakan dengan cuaca berawan rendah pada ketinggian 2,000 kaki dan penglihatan terhad di sesetengah tempat,” katanya.