Tubuh unit khas banteras porno kanak-kanak tepat pada masa, kata NGO

Tubuh unit khas banteras porno kanak-kanak tepat pada masa, kata NGO

Lilian Kok dari All Women’s Action Society berkata penubuhan unit khas itu diperlukan memerangi jenayah siber terutama menangani kesulitan di peringkat bidang kuasa antarabangsa.

Tahun lalu, polis menerima laporan 93,368 protokol internet (IP) beralamat di negara ini disyaki terlibat pornografi kanak-kanak. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Penubuhan unit khas polis membanteras pornografi kanak-kanak di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), bertepatan, kata kumpulan hak asasi wanita.

Unit khas diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

Pengarah Program Women’s Centre of Change (WCC) Karen Lai, berkata langkah itu menunjukkan keseriusan menangani jenayah keji itu.

“Antara 2017 dan 2021, lebih 94,000 aduan diterima polis berkait jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dalam talian,” katanya kepada FMT.

“Dilaporkan, polis menjangkakan lebih banyak jenayah seumpama itu berlaku, terutama membabitkan serangan seksual bukan fizikal seperti gambar dan video tidak sopan.”

Lai berkata, jenayah itu disifatkan sangat sukar dijejak berikutan berlaku dalam talian, justeru memerlukan latihan, sokongan dan sumber khusus.

Pada Mei tahun lalu, Ketua Penolong Pengarah D11 Siti Kamsiah Hassan, berkata antara 2017 dan Mac 2022, polis menerima 93,368 protokol internet (IP) beralamat di negara ini disyaki terlibat pornografi kanak-kanak.

Maklumat berkenaan diterima menerusi sistem perkongsian membabitkan Interpol, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Pusat Kebangsaan bagi Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi.

Katanya, kesan daripada kekurangan anggota terlatih menapis dan meneliti maklumat diterima, hanya 103 alamat IP diperiksa membawa penahanan 50 individu.

Pengurus Kanan Program All Women’s Action Society, Lilian Kok, berkata pembentukan unit khas diperlukan bagi memerangi jenayah siber terutama kesulitan berurusan dalam bidang kuasa antarabangsa yang memantau aplikasi popular.

“Kami berharap peruntukan tambahan berterusan menambah baik usaha D11 mengekang jenayah siber dengan memberi penekanan prosedur sejajar diamalkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Lai berkata, perlu juga diperjelaskan mengenai apa berlaku kepada peruntukan RM13 juta kepada D11 daripada Belanjawan 2022 bagi menambah 100 pegawai menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Ini penting bagi kita memahami apa sudah dilakukan melalui peruntukan dana terdahulu dalam usaha memperkasa sumber bagi D11,” katanya.

Kok juga mempersoalkan sama ada berlaku sebarang perubahan dalam peruntukan untuk disalurkan, sambil mengambil maklum tiada jumlah diumumkan dalam semakan semula Belanjawan 2023.

“Di sinilah pemantauan dan penilaian (M&E) penting dilaksanakan bagi mengenalpasti bahagian mana perlu diteliti berbanding perkara lain,” katanya.

“Pelaksanaan M&E penting dilakukan menerusi peruntukan demi menjamin ketirisan minimal, dan kecekapan penggunaan sumber dana.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.